Tuesday, 12 March 2013

Meredah Cabaran Masa

Judul: Meredah Cabaran Masa
Terbitan: Pustaka Seri Idaman
Penulis: Syed Mahadzir
Ilustrasi: Ridzuan Amin

Meredah Cabaran Masa ini merupakan satu kisah fiksyen yang berunsurkan penyiasatan remaja yang memaparkan masalah-masalah yang berkaitan dengan jenayah yang berlaku di negara kita. Kisah yang dipaparkan dalam buku ini mengandungi pelbagai unsur seperti gembira, sedih, kejujuran dan sebagainya. 

Dalam Meredah Cabaran Masa, cerita ini mengisahkan pengembaraan dan tindakan-tindakan yang diambil oleh tiga sahabat karib iaitu Zaidi, Khairul dan Affandi. Pengembaraan mereka bermula daripada dusun durian yang dimiliki oleh ayah Khairul, yang diberikan urusan tanggungjawabnya kepada Lebai Deraman yang hidup seorang diri di dalam dusun tersebut. Apabila mereka bertiga pergi melawat Lebai Deraman di rumah kayunya yang sudah usang itu, mereka diberikan satu misi untuk menyiasat tentang sebuah kereta lembu yang kononnya dimiliki oleh Haji Abdul Salam, bapa saudara Lebai Deraman yang kaya orangnya dan hidup sebatang kara seperti Lebai Deraman. Menurut Lebai Deraman, hanyalah harta yang ditinggalkan oleh bapa saudaranya itu yang mampu membantu membangunkan kampung mereka dari segi kemudahan awam. Dengan itu, bermulalah pengembaraan rakan bertiga itu untuk menyiasat dan mencari kebenaran sebalik kereta lembu itu dan harta yang dimiliki oleh haji Abdul Salam itu. 

Sungguhpun buku ini merupakan sebuah buku cerita yang menjadi pilihan pelajar sekolah menengah, namun jalan ceritanya masih mampu diperbaiki kerana terdapat beberapa senario-senario yang tidak relevan yang berfungsi sebagai pengisi cerita. Sebagai contoh, terdapat satu senario dalam buku ini di mana ketiga-tiga sahabat itu bertemu dengan seekor harimau belang dalam usaha mereka untuk mencari jalan pintas ke Melaka. Pada pendapat saya, senario tersebut tidak relevan terhadap pengembangan cerita dan pengembaraan ketiga-tiga sahabat itu dan hanya berfungsi untuk memanjangkan jalan cerita buku ini sahaja. Saya berpendapat bahawa penulis wajar mencari senario-senario yang lebih relevan dan yang menyumbang kepada perkembangan jalan cerita serta pengembaraan watak-watak protagonis kisah ini. 

Selain itu, saya juga berpandangan bahawa ilustrasi-ilustrasi yang dipaparkan dalam buku ini sering mempamerkan detik-detik kecil yang tidak penting bagi pengembangan cerita ini. Saya rasa ilustrasi-ilustrasi yang dipamerkan dalam buku ini, walaupun hanya buku yang menjadi sasaran remaja-remaja muda di sekolah, haruslah menunjukkan detik-detik penting dalam pengembangan kisah ini dan bukanlah hanya semata-mata untuk menunjukkan ilustrasi.

Saya juga berpendapat bahawa fokus pada keakhiran cerita ini terlalu tertumpu pada Zaidi seorang sahaja. Saya berpendapat bahawa Affandi dan Khairul juga patut diberikan tumpuan yang sewajarnya. Hal ini kerana kisah ini selalu tertumpu pada mereka bertiga, dan ini secara langsung menjadikan watak mereka bertiga ini sebagai protagonis-protagonis utama cerita ini. Saya rasa kita juga patut memberikan fokus terhadap cita-cita Khairul dan Affandi yang masing-masing ingin menjadi doktor dan pensyarah dan bukannya hanya pada Zaidi yang ingin menjadi hakim sahaja. 

Namun begitu, saya berpendapat bahawa buku ini merupakan suatu buku yang amat sesuai dibaca oleh golongan-golongan muda. Kisah ini menggambarkan banyak detik-detik kesetiaan antara rakan-rakan, keberanian, penunaian janji dan sebagainya. Banyak nilai-nilai yang penting yang mampu dipelajari oleh golongan-golongan muda untuk dijadikan panduan dalam kehidupan mereka kelak. Bukan itu sahaja, jalan ceritanya juga amat menarik dan mampu mendorong golongan-golongan remaja untuk menghabiskan buku ini. 

Sekian. 

Choong Chia Wei

No comments:

Post a Comment

    Pages

    Search This Blog

Etiketler

Popular Posts

Followers