Friday 8 March 2013

Awek Chuck Taylor by Nami (Nur Atika bt Jamuary)

Awek Chuck Taylor




Awek Chuck Taylor (ACT) mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Hafiz, watak utama yang berusaha mencari cinta tanpa jemu. Hafiz terperangkap dengan cinta 3 segi apabila bercinta dengan Mira, dan kemudian bercinta dengan adik Mira bernama Nana. Cerita ini kemudiannya diselitkan dengan babak perkenalan Hafiz dengan adik angkatnya dan pemergian Mira dan Nana ke luar Negara.

Daripada apa yang saya baca, buku ini banyak menyentuh tentang aspek kehidupan anak muda, seperti pergaulan, cara hidup, kekeluargaan, cinta, akademi dan sebagainya. Rasanya fokus utama dalam buku ini adalah percintaan antara Hafiz dan Mira. Selain itu, konflik percintaan antara Hafiz, Mira dan adiknya Nana membuatkan cerita ini sangat menarik untuk dibaca. Malah, dalam buku ini juga ada unsur-unsur kekeluargaan yang sangat akrab antara Mira dan adiknya, Nana. Mira sangat sayangkan adiknya sehingga sanggup melakukan apa sahaja demi kebahagiaan adiknya. Karakter dia sangat menyentuh perasaan saya dengan mengenangkan pengorbanan seorang kakak yang sanggup jaga adik dia sepanjang masa.
Saya ada pernah terbaca yang sebenarnya novel ini merupakan kisah benar si penulis sendiri, Nami. Hafiz sebenarnya merupakan Nami dalam dunia realiti. Semua watak dalam ACT adalah berdasarkan orang yang pernah penulis kenal. Tapi penulis telah mengubah nama mereka di dalam ACT. Dan sebenarnya, cerita ini telah ditulis terlebih dahulu didalam blog Nami (tehtarikgelasbesar.tumblr.com) kemudian baru ianya dibukukan, supaya mudah si pembaca memahami jalan ceritanya mengikut kronologi. Bagi saya, si penulis ni agak berani untuk menulis pengalaman hidup sendiri untuk dibaca oleh khalayak umum. Secara jujurnya, saya memang tabik pada orang yang sanggup berkongsi hal peribadi mereka, terutamanya kisah cinta mereka kepada orang lain.

Dari segi jalan cerita, saya mengaku jalan ceritanya agak berterabur. Tambah lagi, ada muka surat yang tersilap disusun, membuatkan pembaca agak keliru dan sukar untuk memahami jalan ceritanya. Selain itu, tiada selang satu baris antara perenggan (tak semualah) dan tiada selang antara noktah dengan huruf pertama pada ayat baru. Nampak seperti benda kecil, tapi ia sedikit membunuh mood untuk membaca. Pengakhiran bagi cerita ni juga agak tergantung. Tetapi boleh dikatakan secara keseluruhannya cerita ini agak menyedihkan kerana ia berakhirnya dengan kematian Mira dan Nana. 

Dari segi penggunaan bahasa pula, penulis menggunakan campuran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dalam ACT (ada sedikit Bahasa Itali). Bahasa Malaysia yang digunakan bukanlah Bahasa Malaysia Skema, tapi bahasa pasar seperti percakapan harian kita untuk menjadikan ia lebih realistik, dicampur dengan bahasa carutan yang menjadikan ia lebih realistik. Bagi saya sebagai anak muda, memang menarik dan mudah memahami penggunaan bahasa yang digunakan dalam ACT ni. Tapi kadang-kala ada beberapa bahasa kesat juga digunakan, membuatkan ianya tidak sesuai dibaca oleh golongan-golongan tertentu (buku ini memang sesuai untuk bacaan anak muda sahaja).  Tambahan pula, banyak juga kesalahan tatabahasa dan ejaan yang dapat dikesan daripada pembacaan saya dalam ACT ni.  Tapi secara keseluruhannya bagi pendapat saya penggunaan bahasa yang digunakan dalam ACT ni cukup dengan gaya yang santai dan slanga yang difahami.

Kesimpulannya, bagi saya novel ni memang seronok kerana cara penulis mengolah setiap isi cerita untuk menjadikan jalan cerita menarik sangat kreatif, penulisan yang tidak begitu berat, sangat sesuai untuk dijadikan hobi masa lapang, relaks dan tenang saja cara penyampaianya. Cerita pasal ending novel ni memang tak sangka yang endingnya akan jadi sedemikian rupa dinama Mira dan Nana meninggal dunia. Bagi pendapat saya, selalunya hero dengan heroin mesti happy ending kan? Jadi, pengajaran dalam cerita ni, kita tak semestinya bahagia bila bersama dengan orang yang kita sayang.


2 comments:

  1. Nana je yg meninggal . Mira masih ada . Nana meninggal sebab choking allergy kacang .

    ReplyDelete
  2. Aaaaa sedihnyaaa last skaliii, sian hafizzzz

    ReplyDelete

    Pages

    Search This Blog

Etiketler

Popular Posts

Followers