Saturday 9 March 2013

Murtad by Hasrul Rizwan













Judul: MURTAD
Penulis: Hasrul Rizwan
Penerbit: Buku Fixi (002016254-V)
Cetakan Pertama: Jun 2012
Halaman: 323 muka surat
Harga: RM20.00






Adam terus menekan punat pada briefcase hitam lalu dibukanya perlahan-lahan. Adam terbelalak. Akhil terlopong. Masing-masing berganjak ke belakang.
   Dua pucuk pistol automatik berkilatan hitam, sekeping envelop, kunci kereta dan juga sejumlah wang tersedia di dalam beg yang terpelahang buka.
     Adam menutup kembali beg itu. Matanya terpejam rapat. Akhil menelan liur.
   "Kerja gila apa sebenaqnya ni... haa??" Akhil bertanya keras.
    "Ini adalah kerja untuk agamamu. Benar. Seperti yang kamu fikir dan apa yang kamu lihat sekarang."
     "Hang nak suruh kami buat apa? Bunuh orang?"
     "Ya"
     "Nakharrom."
     "Kamu akan diberi tugas untuk membunuh orang-orang yang MURTAD."

        Tajuk buku-buku terbitan Buku Fixi yang sudah semestinya hanya terdiri daripada sepatah perkataan sahaja memang akan berjaya menarik pembeli untuk membeli seterusnya mengetahui isi disebalik tajuk yang dipilih penulis. Begitu juga dengan penulis buku "MURTAD" iaitu saudara Hasrul Rizwan. Tajuk yang dipilih sudah cukup membuatkan pembaca tertarik dan teruja untuk mengetahui kisah disebaliknya. Malah, coretan sinopsis di kulit belakang buku juga seakan-akan mengajak pembaca untuk turut serta merasakan debaran yang terdapat dalam novel aksi tersebut. 

         Adik-beradik kembar, Adam dan Akhil yang berniat ingin mengubah nasib dengan mencari pekerjaan di bandaraya metropolitan, Kuala Lumpur dikejutkan dengan panggilan telefon yang nombornya dirahsiakan oleh si pemanggil yang hanya mahu memperkenalkan diri sebagai Mr.T dan seterusnya menawarkan pekerjaan sebagai pembunuh upahan. Bukan calang-calang pekerjaan yang ditawarkan. Malahan, upah dan ganjaran yang diterima juga amat lumayan. Kedua-dua beradik itu menghadapi dilema dalam membuat keputusan kerana sememangnya mereka tidak akan sekali-kali meragut nyawa manusia yang tidak berdosa. Akan tetapi, mereka tetap menerima tawaran itu. Tawaran yang diterima itu bukanlah bertunjangkan nafsu yang inginkan kekayaan atau kesenangan, tetapi diterima atas dasar jihad sebagai seorang Muslim yang ingin memerangi gejala Murtad yang semakin berleluasa.

        Bagi saya, cerita ini agak menarik kerana jarang untuk kita lihat penulisan buku yang membawa mesej keagamaan dimana kebanyakan pembaca buku-buku terbitan Buku Fixi adalah terdiri daripada golongan remaja yang meningkat dewasa. Pendekatan yang digunakan penulis untuk mendekatkan masyarakat golongan remaja dan dewasa ke arah pembacaan buku yang sedikit islamik boleh dikatakan agak berani dan kreatif kerana buku ini bergenrekan aksi yang mana amat diminati oleh golongan tersebut. Berikut adalah ulasan dari sudut pandangan saya mengenai isu yang diketengahkan melalui penulisan buku ini:

___________________________________

"Bagaimana? Kerja yang mudah untuk mendaulatkan kembali kesucian Islam yang telah lama dipinggirkan. Ini adalah kerja untuk Allah. Urusan hudud di dalam Islam. Yang telah murtad dan menyebarkan agama yang baru kepada umat Islam yang lain tidak seharusnya dibiarkan hidup. Tidak. Bukan untuk saya, bukan juga untuk mencalarkan agama-agama sesiapa. Tapi ini adalah hukuman yang termaktub bagi pesalah-pesalah yang telah menyimpang keluar di jalan Allah."

        Ya, sudah semestinya kita pernah diajar bahawa hukuman orang yang murtad di dalam agama Islam adalah bunuh. Hal ini kerana ia dikhuatiri akan menjadi seperti wabak berjangkit yang akan terus meracuni pegangan agama yang terdapat dalam diri umat Islam. Ia juga menyentuh soal kesucian agama. Akan tetapi, dalam keadaan dunia sekarang dimana Islam sudah dikecam hebat dari setiap pelosok dunia, bagi saya ini bukan cara yang terbaik. 

         Islam sudah sedia dipandang serong oleh agama lain. Jikalau begini cara hukuman atau denda yang dijalankan oleh sesetengah pihak, ia akan terus menjadi keruh dan dipandang serong oleh masyarakat dunia. Malah, dengan keadaan negara yang berstatus negara Islam tetapi mengamalkan sistem perundangan sekularisme, segala tindakan keganasan yang bertujuan untuk mencemari hak asasi manusia akan dikatakan sebagai jenayah. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan nyawa dan maruah manusia. Hal ini hanya akan mengeruhkan lagi keadaan dan akan menyebabkan Islam dikatakan sebagai agama pengganas.

         Mungkin juga penulis hendak menyampaikan mesej tentang hukum hudud yang sepatutnya dilaksanakan dalam negara. Melalui hukum hudud sajalah baru Islam tidak akan menerima cemuhan. Hal ini kerana, melalui pelaksanaan hukuman hudud, seluruh dunia akan tahu bahawa itulah yang dinamakan undang-undang Islam dan sebarang tindakan yang dilakukan atas dasar jihad tidak dipandang serong. Ambil Makkah, Arab Saudi sebagai contoh. Tiada sebarang bantahan yang dapat kita dengari apabila penguatkuasa negara tersebut akan menjalankan hukuman hudud ke atas pesalah kerana itu memang sudah termaktub dalam undang-undang negara.

___________________________________


         Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan buku ini. Walaupun teknik penceritaan yang digunakan kadang-kala sedikit mengelirukan tetapi itu masih tidak mencacatkan seluruh penceritaan. Malah, saya sendiri membaca buku ini dalam masa anggaran setengah hari kerana cara penulisan yang sentiasa membuatkan pembaca tertunggu-tunggu kisah seterusnya. Pembaca juga akan dapat tahu cara memahami sesuatu isu sensitif melalui perspektif yang berbeza. 



Disediakan oleh : Nur Rabiatul Adawiyah binti Sahibullah - A12HA0237 (1SHAC)






No comments:

Post a Comment

    Pages

    Search This Blog

Etiketler

Popular Posts

Followers