Thursday, 7 March 2013

..AMERIKA..


Diulas oleh : ANNUR AZIZAH ISMAIL
AMERIKA  oleh RIDHWAN SAIDI
PENERBIT --- MOKA MOCHA INK

S.I.N.O.P.S.I.S

Ringkasan yang dipetik dari novel ini :

    " Murshid Merican mahu menulis, tetapi telah diusik rutin-rutin harian diselangi momen-momen magikal, membawa dirinya menemui teman yang telah mati, penjaga hostel yang buta huruf, serta kekasih-kekasih karib dalam suatu pengembaraan merentas kontinuum ruang dan masa.

Di antara kota kotor Kuala Lumpur dan South Beach, dari Manhattan ke Kyoto, mereka bersembang tentang cinta, arsitektur, seni, sastra, demokratia, dan kau-tahu-apa dalam satu kondisi mimpi yang bersinar". 

Bismillahirrahmanirhim....

Selepas mengambil bulat-bulat sinopsis yang terpapar di belakang novel karya Ridhwan Saidi ini, saya ingin pembaca blog tahu bahawa ada sebab mengapa saya menyalin semula sinopsis tersebut. Yang pertama, saya membeli buku ini disebabkan tertarik dengan sinopsis yang dinukil oleh penulis kerana di situ ada tercatat ayat 'membawa dirinya menemui teman yang telah mati, penjaga hostel yang buta huruf, serta kekasih-kekasih karib dalam suatu pengembaraan merentas kontinuum ruang dan masa.'. Keduanya, setelah saya membaca novel ini, saya dapati bahawa novel ini tidak seperti yang saya harapkan. Saya merasakan melalui ayat 'menemui teman yang telah mati, watak utama Murshid Merican atau nama timangannya dalam novel ini adalah Mumu, dia telah berkomunikasi dengan roh arwah rakannya, iaitu Awang Besut yang meninggal pada bulan Ramadhan.

Sebelum saya memberikan ulasan ataupun kritikan dengan lebih lanjut, berikut merupakan maklum balas daripada pembaca-pembaca lain atau boleh dikatakan peminat setia novel air tangan Ridhwan Saidi (diambil daripada blog En. Ridhwan Saidi sendiri ) :

  
Gambar di atas antara maklum balas yang diberi sama ada meletakkan novel ini sebagai yang terbaik atau ada yang mengkritik. Bagi saya, dari segi penilaian novel Amerika ini, secara umumnya saya ingin memberikan kritikan yang membina. Novel Amerika ini merupakan novel 'indie' pertama yang saya baca. Saya ingin memuji penulis kerana beliau berani mengutarakan isu-isu sensitif dalam kalangan masyarakat seperti agama,politik dan seks. Cuma cerita seks yang ingin dilontarkan sangat tidak sesuai untuk dibaca oleh pembaca yang fikiran mereka masih lagi belum boleh berfikir secara rasional seperti kanak-kanak yang berada di sekolah rendah dan individu yang baru menginjak usia remaja. Ia menceritakan terlalu terperinci mengenai hubungan seks yang dilakukan. Perkara ini boleh menimbulkan minat mereka untuk mencuba dan ingin tahu apa sebenarnya seks. Novel ini juga amat berbeza dengan novel-novel fiksyen yang berada di pasaran yang kebanyakannya hanya menjual cerita-cerita cinta yang hanya membuai emosi pembaca wanita. Jalan cerita yang dimiliki oleh novel ini amat menarik tetapi penceritaannya sangat lambat dan terlalu spesifik dalam menghuraikan suasana, menjadikan saya cepat merasa bosan kerana ingin mengetahui apa yang cuba disampaikan oleh penulis. Contoh ayat yang seringkali diulang :

"mengelak dari memijak anak tangga yang mengeluarkan bunyi yang menjengkelkan"
"bunyi dikiran dari kuil Sikh"

Selain itu, pengunaan kata nama 'aku' yang mengantikan watak Mumu tidak tetap. Ia sering bertukar dengan kata nama 'saya' walaupun dalam ayat yang sama. Ini boleh mengelirukan pembaca, identiti siapa yang ingin dimaksudkan sebenarnya. Contoh ayatnya ialah :
" aku tanya mengenai kelibat penaja saya tetapi dia (watak tuan rumah Barcelona Studio) hanya menggelengkan kepala sahaja"

Dari segi jalan cerita yang memasukkan elemen-elemen keagamaan, penulis tidak begitu sensitif dengan ajaran agama Islam sedangkan Mumu adalah seorang  lelaki Islam. Saya berpendapat bahawa penulis ingin mewujudkan watak orang Islam yang lebih berfikiran terbuka dalam soal agama. Apa yang disyariatkan di dalam al-Quran mesti dipatuhi dan tidak boleh dipertikaikan. Menurut penulis, beliau ada mewujudkan satu watak (Omar Khayyam) yang menjadikan Mumu merasakan bahawa meminum wain tidak mengapa :

" kenapa susu basi halal tetapi wain jernih tidak, soal Omar Khayyam"

Mumu juga meminum wain semasa majlis makan malam Sofia, demi menjaga hati rakan sekerjanya  itu yang menyambut hari lahirnya. Di sini dia lebih sanggup menjaga hati rakan daripada agamanya sendiri. Watak Mumu juga ada menyatakan bahawa dia lebih selesa mnghisap curut dan meminum wain daripada rokok dan juga bir. Bukankah kedua-dua bir dan wain diharamkan di dalam Islam? Apabila di South Beach, Miami, semasa dia pergi ke sana kerana dia memenangi tempat pertama dalam pertandingan filem pendek yang dihantar oleh Aneeta. Mumu sebenarnya tidak ingin menyertai pertandingan tersebut. Rezekinya telah membawa dia ke Miami dan di sana dia memakan sahaja makanan yang tidak halal seperti sandwich babi salai tanpa berusaha mencari makanan yang halal. Mumu juga berzina dan tidak berpuasa di bulan Ramadhan.

Dalam bahagian politik pula, penulis hanya menggambarkan keadaan yang politik yang berlaku di Malaysia kini. Beliau menyindir tentang perhimpunan Bersih, dan sistem pemerintahan demokratik. Penulis kelihatan tidak berapa ke arah menyokong kerajaan. Pada pendapat saya, setiap individu mempunyai pegangan dan kepercayaan mereka masing-masing tetapi ia perlu diolah supaya apa yang disampaikan itu tidak melambangkan diri sebenar penulis.


Disamping itu, kulit buku ini ada menunjukkan gambar buah strawberi, lipas dan brokoli. Saya tertanya-tanya apa kaitannya dengan cerita di dalam novel ini. Selepas membaca,  saya dapati, ketiga-tiga item ini tidak mempunyai apa-apa hubungkait. Strawberi hanya bau wangian Dahlia (salah seorang daripada kekasih Mumu), lipas pula binatang yang dianggap sebagai perosak yang ingin membunuh Mumu dalam alam khayalannya dan brokoli amat berkhasiat dan jika ia dimakan oleh lelaki yang tidak merokok, menjadikan hubungan seks lebih menarik dan segar.


Bagi keseluruhan sketsa yang dicurahkan dan dibukukan dalam novel Amerika ini, jalan ceritanya sangat membosankan bagi saya yang sering membaca novel-novel yang hanya terdapat di pasaran. Topik yang dihuraikan terlampau berat dengan struktur ayat yang sukar untuk difahami. Amerika merupakan novel 'indie' pertama yang pernah saya baca dan ia menjadikan saya susah untuk memahami struktur penceritaan yang diolah kerana ia ditulis melalui kaca mata penulis bukan hanya cerita fiksyen yang direkayasa. Mungkin topik yang berat itu boleh dikemukakan tetapi dengan pendekatan dan ayat yamg lebih mudah diterima akal. Seperti yang saya nyatakan di atas, jalan ceritanya terlampau lambat kerana penulis akan menghuraikan situasi dan suasana yang berlaku satu persatu, menyebabkan saya mudah hilang fokus di dalam pembacaan. Penceritaan dari bab ke bab yang lain juga tidak banyak mempunyai kaitan dengan bab yang sebelumnya. Ini menyukarkan pembaca dalam mengkaitkan jalan cerita dalam usaha memahami apa yang ingin diutarakan di dalam novel ini. Pengakhiran bagi novel Amerika ini juga tidak menarik kerana dia meninggal secara tiba-tiba akibat dihempap oleh pokok. Mumu juga telah meninggalkan sebuah beg bimbit yang mempunyai nombor kunci '342' yang di dalamnya berisi wang berjumlah RM 2000 dan tiket untuk ke Amerika. Saya tidak dapat menyimpulkan penutup bagi novel ini kerana saya tidak memahami bagaimana adanya wang dan tiket ke Amerika itu sedangkan penulis telah menyatakan bahawa watak Mumu telah sampai ke South Beach, Miami, Amerika. Di pengakhiran novel ini juga, watak-watak yang telah diceritakan di dalam novel ini, seolah-olah hanya menjadi watak bayangan Mumu sahaja dan ia telah dicampuradukkan. Saya sudah menjadi tidak pasti sama ada cerita ini hanya khayalan atau ia benar-benar berlaku dalam kehidupan seorang Murshid Merican. Pada pendapat saya, novel ini perlu dibaca berulangkali untuk mendapatkan pemahaman sebenar tentang apa yang cuba disampaikan oleh penulis.
  

1 comment:

  1. benar sekali,, jalan ceritanya agak sukar difahami menyebabkan kita pening dalam cuba mencari mesej tersirat buku ini.

    ReplyDelete

Etiketler

Popular Posts

Followers